Tuesday, July 20, 2010

Ekspedisi ke Kg Beswok dan Pos Yom

           Pada 16 Jul 2010, kumpulan tegar Utara Off Road sekali lagi meredah hutan Perak untuk menakluki Kg Beswok dan Pos Yom. Ekspedisi bermula dengan semua peserta berkumpul di R&R Juru pada jam 2200. Pada perkiraan awal 6 buah kenderaan akan mengambil bahagian dalam trip kali ini. Walau bagaimanapun satu kenderaan dari Penang  telah mengalami kerosakkan dalam perjalanan ke tempat berkumpul dan terpaksa menarik diri di saat akhir manakala sebuah lagi menarik diri kerana melawat anak di asrama di Kuala Lumpur.

          Empat kenderaan mula bertolak dari R&R Juru pada jam 2230 ke Kg Bawong, Sungai Siput mengikuti Lebuhraya Utara Selatan melalui Kuala Kangsar. Kami tiba di Masjid Kg Bawong pada jam 0130 dan masing-masing mula mencari tempat untuk melelapkan mata. Pada 17 Jul 2010 seawal jam 0700 kenderaan kami mula bergerak ke arah destinasi yang dituju. Dalam kedinginan udara pagi, kereta kami meluncur perlahan dan kami berhenti di beberapa tempat untuk melihat panorama hutan.


            Perjalanan kami agak mudah pada mulanya sehinggalah jambatan utama ke Pos Yom. Dari jambatan tersebut jalan mula berubah dari kategori mudah ke sederhana. Bagi penggemar 4 x 4 keadaan jalan sebegini sebenarnya memang dinantikan. Semuanya kami tempuhi dengan mudah tanpa ada masalah. Para isteri dan anak-anak pun turut merasakan keseronokkan apabila kenderaan melepasi halangan demi halangan. Bagi mereka ini bukanlah kali pertama mereka didedahkan kepada aktiviti luar sebegini. Sememangnya itulah hasrat kami iaitu membiasakan isteri dan anak-anak kepada keadaan yang mencabar supaya mereka lebih tabah menghadapi cabaran.

           Lebih kurang jam 1030 pagi kami mula melepasi Pos Yom. Dari jauh kami nampak perkampungan orang asli yang begitu tenteram jauh dari pencemaran kota. Terasa begitu tenteram di hati bila melihat kedamaian kampung yang seba kekurangan itu. Nasib mereka agak terbela dengan bantuan yang diberikan oleh JHEOA Perak seperti rumah, bekalan air dan bekalan elektrik dari sumber solar. Melihat pada keadaan kehidupan mereka terasa insaf di hati bila mengingatkan tentang kehidupan kita yang jauh lebih mewah dari mereka. Syukur Alhamdulillah kepada nikmat yang Allah berikan kepada kita.

            Di pertengahan perjalanan kami melintasi kebun-kebun orang asli yang telah diusahakan dengan tanaman koko. Melihatkan usaha mereka yang gigih, saya secara peribadi percaya suatu hari nanti kawasan ini akan menjadi pengeluar koko yang yang berjaya. InsyaAllah..... Beberapa orang kanak-kanak orang asli berada di tepi jalan bermain-main. Kami mengambil kesempatan untuk memberikan buah tangan yang dibawa kepada mereka. Di wajah mereka terlihat  riak kegembiraan apabila menerima pemberian tersebut. Ucapan terima kasih diberikan kepada kami. Kami menggalakkan anak-anak kami memberikan buah tangan tersebut supaya mereka dapat melihat sendiri perbezaan antara mereka dan kanak-kanak orang asli.  Anak saya bertanyakan kepada saya berbagai soalan tentang orang asli yang mana semuanya saya jawab dengan bijaksana supaya dia mendapat manfaat dari ekspedisi ini.

           Jam 1130 kami tiba di Kg Kotai, sebuah perkampungan kecil di antara Pos Yom dan Kg Beswok. Sambutan yang diberikan oleh penduduk kampung agak baik. Salam mesra yang kami hulurkan sisambut dengan baik oleh Tok Batin. Kami memaklumkan kepada beliau yang kami dalam perjalanan ke Kg Beswok dan hanya singgah sebentar untuk membetulkan merehatkan kenderaan. Walaupun demikian sedikit sumbangan dihukurkab kepada penduduk setempat yang ada sebagai tanda persahabatan dari kami. Memang perpancar wajah kemesraan di wajah mereka walaupun baru mengenali kami. Inilah yang membuatkan kumpulan kami ingin selalu mendekati kaum org asli. Kami meneruskan perjalanan ke Kg Beswok setelah puas berehat.

       Lebih kurang jam 1230 kami tiba di Kg Beswok setelah melalui jalan yang agak rumit. Kg ini adalah kampung yang paling hujung sekali di dalam negeri Perak. Kami berhenti berdekatan sekumpulan orang asli yang sedang mengerjakan kebun. Secara kebetulan Tok Batin pun ada di situ jadi mudah kepada kami untuk mengucapkan salam dan meminta kebenaran untuk singgah. Kami ditunjukkan tempat untuk meletakkan kenderaan dan kawasan untuk berkhemah, walau bagaimanapun kami mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Pos Yom kerana terdapat kawasan perkemahan yang lebih baik.

          Walaupun kami tidak jadi untuk berkhemah di Kg Beswok, ini tidak bermakna penghuni kampung ini tidak dihargai oleh kumpulan kami. Sumbangan pakaian dan makanan tetap dihulurkan. Kami suka melihat senyuman di wajah orang asli ketika menerima sumbangan kami. Mereka tidak pandai memilih tetapi menerima setiap pemberian dengan hati yang terbuka. Sumbangan pada kali ini lebih menjurus kepada golongan wanita dan kanak-kanak. Kami mendapat maklumat bahawa jalan dari Kg Beswok ke Kg Tuil (Kelantan) telah putus tetapi boleh dilalui oleh kenderaan 4 x 4 dan keluar melalui Kuala Betis, Gua musang. Inilah akan menjadi cabaran kami untuk ekspedisi yang akan datang. Kami berpatah balik ke Pos Yom dan berkhemah di sana. Kawasan yang ada memang cantik dan cukup untuk menampung 20 kenderaan. Masing-masing tersenyum bila melihat sungainya cantik dengan air jernih mengalir laju. Kami mendirikan khemah dan masak makanan untuk tengahari itu kerana masing-masing sudah kelaparan yang teramat sangat.

           Hidangan nasi dengan kari kepala ikan cukup menyelerakan. Setelah kenyang kami berehat sambil melihat anak-anak bermain di sungai. Memang seronok kalau selalu dapat begini setelah penat bekerja. aktiviti riadah sebegini dapat menenangkan minda yang berserabut denngan tugasan pejabat yang tak pernah habis......Kalau tak kerja mana nak dapat duit untuk semua ini....Hahahahahaha......... Petang itu kami minum petang dengan cucur udang cicah Sos Thai...mmmmmm sedapnya.

          Kami memberikan sumbangan seperti biasa kepada masyarakat setempat. Semua sumbangan adalah ikhlas dari kami tanpa mengharapkan sumbangan dari penaja atau badan kebajikan. Ini adalah lebih baik kerana kami memberikan setakat termampu.

     Pada 18 Jul 2010 lebih kurang jam 1400 kami bertolak balik. Semua peserta ekspedisi kali ini berasa puas kerana kelancaran ekspedisi. Kami akan membuat banyak lagi aktiviti riadah berkeluarga seperti ini di masa akan datang. InsyaAllah.....


























Sunday, June 20, 2010

Ekspedisi Keluarga Ke Kuala Mu

            Pada 12 Jun 2010, satu ekspedisi keluarga telah diadakan dengan jayanya walaupun hanya melibatkan 4 buah kenderaan. Kenderaan yang mengikuti ekspedisi pada kali ini ialah mitsubishi Pajero SA 504 Y milik admin, Mitsubishi Pajero PBX 5058 kepunyaan Rizal, Mitsubishi Pajero PBU 8264 milik Abg Aad yang di pandu oleh Umaq dan Jeep Cherokee WDN 7922 milik Shidee Penang. Ekspedisi bermula apabila semua peserta berkumpul di R&R Juru lebih kurang jan 0800 pagi. Kami memulakan perjalanan ke Sungai Siput dan seterusnya ke Kg Bawong melalui Felda Rasah. Jam 1100, kami mula menempuhi jalan offroad melalui perkampungan orang asli. Dalam perjalanan ramai kanak-kanak dan org dewasa yang melambai tangtan kepada kami. Kami membalas lambaian mereka dan melemparkan senyuman mesra.

           Perjalanan sejauh 25 km ditempuhi dengan mudah tanpa ada apa-apa masalah. Jam 1300, kami mula menempuhi rintangan yang ada dengan mudah. Ada antara peserta yg mengatakan ekspedisi kali ini tak mencabar...hahahahaha... Kami menjangkakan akan sampai ke Kuala Mu pada atau lebih kurang jam 1400. Semua rintangan ditempuhi dengan mudah sehingga tiba di bukit yg pertama yang ada selut seperti kubang kerbau di hadapannya. Kereta milik admin yg mendahului konvoi mendaki namun dengan keadaan hujan yang mula turun jalan amat licin dan berselut. Air turun dari bukit melalui lorong yg ada seperti air terjun berwarna teh susu....Kenderaan mulai sangkut. Dengan bantuan Winch Warn XD 9000 i kenderaan admin telah dapat melepasi rintangan. Kenderaan kedua yang dipandu oleh Umaq pun turut melepasi rintangan diikuti oleh Cherokee Shidee dan Pajero Rizal. Kami meneruskan perjalanan ke destinasi dengan hari yang makin gelap. Jalan amat licin dan pemanduan menjadi amat susah kerana hujan yang mencurah.

           Lebih kurang jam 1930 kami sampai di Kuala Mu dan terus mendirikan khemah. Masing-masing keletihan dan kepala yang terasa pening akibat berhujan hampir separuh hari. Makan malam di masak secara gotong royong dan dapat disiapkan dengan pantas. Kami menjamu selera nasi berlaukkan kari ayam dan telur dadar yang di masak di dalam hujan. Selesai menjamu selera, mata pun mula mengecil. Barang-barang ada yang disimpan didalam kereta dan ada yang masih tertinggal di luar. Bangun pada pagi keesokkannya, kami bercadang untuk memasak nasi goreng telur. Walau bagaimana pun telur yang diletakkan di atas boot kereta telah tiada. Kami mencari sekeliling dan akhir sekali semua kecewa kerana telur yang masih ada 75 biji telah hilang dicuri "MUSANG". Kami nasihatkan kepada sesiapam yang kesana supaya berhati-hati dengan barang-barang yang di bawa kerana "MUSANG" sentiasa berkeliaran menunggu peluang.

           Pada 13 Jun 2010, lebih kurang jam 1200 kami mulai meninggalkan Kuala Mu. Rancangan kami adalah untuk meneruskan ekspedisi kami ke Pos Beswok. Dalam perjalanan turun kami terserempak dengan satu Tim dari KL/Ipoh tengah bergelumang di tempat kami semalam. Sebuah kenderaan mereka Ford Ranger telah pecah gearbox dan sebuah Cherokee turut mengalami masalah gearbox. Mereka telah berpatah balik dan hasrat ke Kuala Mu terpaksa di batalkan. Perjalanan kami turut terganggu apabila Pajero Umaq telah mengalami masalah alternator yang jammed. Berkat dari pengalaman yang ada kami menggunakan kaedah tentera dan berjaya mengatasi kerosakkan tersebut. Namun kenderaan tersebut terlibat dengan kerosakkan kedua apabila contact point telah habis. Kami meninggalkan kenderaan itu di dalam hutan dan hasrat kami untuk ke Beswok telah dibatalkan. Kami bermalam di Masjid Kg Bawong pada malam itu.

          Pada 14 Jun 2010, kami melakukan misi menyelamat kereta Umaq. Kenderaan tersebut dapat dibawa keluar dari hutan dengan mudah. Selepas makan tengahari kami bertolak balik dan masing-masing tidak puas hati kerana hasrat untuk ke Beswok tidak kesampaian. Kami merancang untuk ke sana pada hujung bulan Jun. Insyaallah...... Pesanan kepada sesiapa yang nak ke Kuala Mu pada musim hujan tentukan kenderaan anda lengkap dengan tayar sekurang-kurangnya jenis MT, ada Winch dan perlatan tambahan seperti cangkul dan chovel.

Sunday, May 16, 2010

Aktiviti di Jeli












Baru baru ni kami ada buat satu trip ke Jeli. Masuk kat kongsi balak dan Kg orang Asli Jahai. Kami menerima sambutan baik dari kawan-kawan di kong si balak terutama Pak Lang. Kami bertolak agak lewat pada petang tu, kami berhenti makan malam di tempat perkelahan dekat batu peringatan lebuhraya Timur-Barat. Lepas perut dah penuh dengan nasi dan kari ayam ala penang yang dimasak oleh Pak Su Penang, kami meneruskan perjalanan.
Lebih kurang jam 1100 malam kami sampai di jalan masuk tempat yang hendah dituju. Kami memohon kebenaran dari sahabat yang jaga di pondok sebelum masuk. Semua muka nampak cemas apabila nampak pekerja balak pasang api hingga ke atas pokok. Ini adalah bertujuan untuk menghalau gajah dari mengganggu.


Sepanjang perjalanan sejauh 10 km kedalan Hutan Simpan Belum, terdapat papan tanda AWAS GAJAH di setiap selenkoh jalan yang menambahkan kerisauan terutama kepada kaum wanita yang ikut trip kali ini. Jalan masuk agak cantik kerana kering. Lebih kurang jam 1230 tengah malam kami sampai ke kongsi balak. Disini kami berjumpa dengan Pak Long yang menasihati kami supaya tidur berhampiran tempat mereka kerana kurang selamat. Kami dimaklumkan bahawa kadang-kadang gajah dan beruang sering datang ziarah ke tempat itu dan selalu merosakkan peralatan. Kecut juga perut dengar cerita dari Pak Long. Ada juga cerita tentang ular tedung selar sebesar batang pinang yang mematuk tayar santaiwong dekat jambatan no 2 jalan masuk. Kami mengenang kembali sewaktu masuk semua buka cermin kononnya nak menikmati udara malam yang segar. Alhamdulillah, kami masih dipelihara ALLAH.

Keesokkannya kami menziarah Kg Orang Asli Jahai. Sambutan yang diberikan agar kurang menyenangkan. Nak buat macam mana .....jarang-jarang tengok orang. Tok Batin bukan main 'timing badak'. Kita datang tempat dia nak ziarah dan bagi sedikit makanan pun nak buat mcm tu..... Tak kisahlah. Kami cari tempat riadah tapi yang ada kurang best. Kami keluar sehingga jumpa sungai yang agak best. Kami masak makan dan melantak hingga kenyang. Budak-budak puas main air. Tengahari kami pun balik. Puas...puas...puas
Assalamualaikum.....Saya telah berbincang dengan Saudara Azhar (Presiden Persatuan) dan beliau telah bersetuju supaya blog ini dibuat. Saya menjemput sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi ahli supaya join kami. Berbagai aktiviti adventure akan dibuat samada bersama keluarga atau tanpa keluarga.