Monday, November 1, 2010

CABARAN GUBIR - GULAU (LASOR)


           Pada 22 - 24 Okt 2010 yang lalu aktiviti meredah hutan sekali lagi dibuat di hutan Simpan Ulu Muda, Kedah berdekatan Empangan Muda dan Empangan Pedu. Ekspedisi yang dirancangkan selama 3 hari ini bermula pada 22 Okt 2010 selepas solat Jumaat di mana semua peserta berkumpul di rumah admin di Sg Petani. 7 buah kenderaan mengambil bahagian pada kali ini. Presiden Kelab Utara Offroad sendiri turun padang pada kali ini atas desakkan dari ahli-ahli. Kami bertolak agak lambat pada hari itu dan kami tiba di tempat permulaan apabila hari dah gelap.     
                                                                                 
         Perjalanan kami pada petang itu pada mulanya agak lancar tetapi bertukar kepada agak mencabar pada malamnya. Banyak kenderaan yang sangkut pada halangan kerana kurang pengalaman dan keadaan kenderaan yang agak kurang bersedia untuk cabaran seperti ini. Berlainan dengan trip yang lepas di mana keadaan halangan dah cukup mencabar tetapi kali ini diburukkan lagi degan hujan yang telah merubah halangan yang sedia ada menjadi lebih sukar. Bagi yang telah menyertai trip yang lepas Dee, Omar, Shidee dan Admin kami telah menjangkakan halangan-halangan yang ada dan telah bersedia. 
            Kami meredah halangan yang ada sehingga satu halangan yang besar dimana kenderaan admin yang mendahului terpaksa meredah paya dan tersangkut. Melihat kepada kenderaan admin yang tersangkut, peserta yang lain mengambil keputusan untuk memperelokkan jalan supaya paya dapat dielakkan. Semua peserta sama-sama bertungkus lumus bekerja dan halangan dapat diatasi. Kami tiba di Camp Site pertama lebih kurang jam 0100. Semua peserta kelaparan dan keletihan, sehinggakan ada yang tidak mahu lagi membantu untuk menyiapkan makanan. Walaupun demikian setelah diberikan sedikit motivasi kejersama diberikan dengan baik.....Syabas kawan-kawan
          Pada hari kedua, kami bangun awal pagi untuk bersarapan dan bersiap sedia untuk cabaran seterusnya. Perjalanan pada hari kedua bermula jam 0900 setelah taklimat kepada pemandu dan bacaan doa. Pada hari ini semua peserta nampak lebih bersemangat dan memberikan kerjasama yang jitu. Perjalanan pada hari kedua ini agak mencabar kerana semua peserta belum pernah sampai hingga ke sini. Trip yang lepas hanya sampai ke Camp Site 1. Memandu di tempat yang kita belum pernah sampai adalah lebih mencabar dari tempat yang kita pernah sampai. Kita tidak dapat menjangkakan halangan-halangan yang bakal ditempuhi......

            Kami tiba di Camp Site 2 pada jam 1830 dan hari hampir gelap. Sebelum sampai ke situ kami melalui satu Sira Air Panas yang penuh dengan tapak kaki binatang yang datang ke situ. Tapak kaki gajah, harimau, kijang, rusa dan babi banyak kelihatan. Semua peserta mengambil peluang untuk bergambar kerana itu adalah sesuatu yang baru bagi kami semua. Kali pertama tengok kejadian alam yang pelik......di tengah-tengah hutan ada sira....kalau dalam peta tempat itu dikenali dengan nama Charok Sira. Kenderaan yang di hadapan sekali berhenti pada petang itu di hadapan jalan curam yang dikatakan tidak boleh didaki oleh kenderaan pacuan 4 roda.

        Pada malam itu bermacam-macam andaian dibuat oleh peserta. Semangat peserta telah menurun apabila salah seorang peserta yang mendakwa mempunyai pengalaman 5 tahun dalam 4x4 memberitahu bahawa bukit curam yang ada di depan kami tidak boleh di naiki oleh kenderaan 4x4. Kata beliau lagi hanya bulldozer sahaja yang mampu mendaki bukit sebegitu. Saya dan Shidee hanya berdiam diri melihatkan telatah orang yang banyak pengalaman berkata-kata. Bagi saya pengalaman sahaja tidak mencukupi kalau hati kecil dan tiada semangat. Saya malas untuk menyampuk cakap orang yang yang begitu kerana buat sakit hati sahaja.......Lantak kaulah.......
           Kami bermalam di situ dengan perasaan yang kurang berpuashati. Keesokkan harinya saya dan Shidee bangun pada awal pagi untuk meninjau jalan yang kononnya tidak boleh dilalui. Kami mendapati sebatang pokok berbirat bekas tali winch untuk menaiki bukit tersebut. Secara berseloroh saya beritahu pada Shidee itu bekas winch bulldozer. Shidee ketawa........Kami berjalan agak jauh untuk memuaskan hati dan membuat analisa pada jalan. Kami membuat keputusan bahawa jalan itu boleh dilalui kerana terdapat tanda-tanda dilalui kenderaan. Kami pulang ke Camp Site di mana semua telah bangun dan menikmati sarapan. Kami bertanyakan pada pemandu yang lain dan ada yang mengambil keputusan untuk meneruskan cabaran. Walaupun demikian, makhluk yang seekor tadi tak habis-habis mengapi-apikan peserta yang lain supaya berpatah balik kerana takut tidak boleh mendaki dan mencari jalan keluar melalui Gulau. Saya dan Shidee sepakat untuk meneruskan cabaran dan 5 buah kenderaan yang lain berpatah balik. Berbekalkan sedikit pengetahuan tentang hutan dan bantuan dari GPS saya dapat mengagak jalan yang perlu dilalui oleh kami. Kami memanjat bukit yang curam itu didahului oleh Shidee dan kurang dari 10 minit kedua kenderaan kami telah berjaya melepasi bukit tersebut. Agak mudah bagi kami kalau nak dibandingkan dengan memanjat Bukit Petai di jalan ke Kuala Mu kerana kami mengambil masa 4 jam untuk melepaskan 4 buah kenderaan dalan hujan lebat. Jam menunjukkan pukul 1200 tengahari dan kami meneruskan cabaran dengan hanya 2 buah kenderaan.
                                                                                        
           Cabaran dan halangan yang kami tempuhi pada hari ke 3 ini agak mencabar tetapi mudah dilepasi. Mungkin kerana hanya 2 biji sahaja. Kami bertekat untuk membuktikan kepada peserta yang berpatah balik bahawa kami boleh melakukannya walaupun kami bersama keluarga.....isteri dan anak-anak. Kalau difikirkan agak mustahil bagi kami melakukannya. Kami tidak menyalahkan rakan-rakan yang lain kerana tarik diri tetapi semangat setiakawan yang kurang membuatkan kami terkilan sedikit. Kami biasa mengharungi cabaran yang lebih teruk tetapi mengapa kali ini mereka tarik diri. Mungkin kerana racun berbisa yang telah dicurahkan oleh orang yang banyak pengalaman.
            Kalau difikirkan memang menyakitkan hati sahaja. Biarkanlah.....dia. Siapalah dia sebenarnya? Hanya budak hingusan yang mendakwa banyak pengalaman. 5 tahun pengalaman dia nak dibandingkan dengan kita yang dah 18 tahun penalaman masuk hutan dan mengendalikan 4x4 tentera untuk hantar bekalan makanan. Sedarlah pengalaman anda belum cukup......Banyak yang perlu anda pelajari......Patutlah TORC buang anda.....hahahahaha. Cukuplah tu. Sebagai ingatan kepada yang lain jangan suka mengapi-api orang. Tak baik.....Cermin diri dulu...cakap saja lantang tapi hati kecil..


       Lebih kurang jam 2200 kami sampai di satu Camp site yang ditinggalkan orang. Kami berhenti masak makanan dan akhir sekali mengambil keputusan untuk bermalam di situ. Keesokkan harinya lebih kurang jam 0900 kami bertolak keluar dari hutan tersebut menuju ke jalan Lasor. Keadaan jalan amat baik dibandingkan dengan jalan yang kami lalui di permulaan cabaran hingga ke Camp Site 2. Wajah krew kami kelihatan agak riang pada hari itu dan kami keluar ke jalan besar pada jam 1400. Kami menamatkan Cabaran Gubir - Gulau dengan jayanya walaupun dengan hanya 2 buah kenderaan.

           Kami berbangga kerana telah berjaya mengharungi jalan kali ini yang boleh dikategorikan HARDCORE. Kepada sesiapa yang ingin mencuba jalan ini silalah berbuat demikian kerana ianya begitu seronok dan mencabar. Kepada yang berpatah balik kami berasa amat kesal kerana berjaya mengharungi cabaran kali ini tanpa saudara semua.