Wednesday, January 25, 2012

Ekspedisi Air Banun - Pos Kemar - Sg Siput


            Lebih setahun menunggu peluang untuk meredah hutan setelah  setahun menumpukan perhatian kepada pengajian. Kini pengajian telah tamat dan pada cuti Tahun Baru Cina (21-23 Jan 2012) peluang meredah hutan datang lagi. 8 buah kenderaan mengambil bahagian pada ekspedisi pada kali ini. Perancangan awal kami adalah untuk bersantai di Sungai Sengoh, Air Banun untuk mencari Ikan Kelah. Nasib tak menyebelahi kami di mana jambatan telah runtuh. Kami berjumpa dengan rakan Offroader dari Kuala Lumpur sedang membaiki jambatan tersebut. Saya percaya dengan jumlah peserta yang ada, mereka akan berjaya. Syabas rakan-rakan. Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh kumpulan mereka sangatlah baik. Pembahagian kerja di buat dengan teratur.
               Kumpulan saya telah berbincang dan mengambil keputusan untuk membatalkan niat untuk bersantai dan akan meneruskan program dengan aktiviti merentas hutan. Kami bersetuju untuk menyahut cabaran untuk ke Pos Kemar dan seterusnya keluar melalui Sg Siput. Gambaran yang agak negatif diberikan oleh rakan-rakan Offroaders terdahulu yang mana untuk jalan Pos Kemar ke Air Banun perlukan sekurang-kurangnya 4 hari untuk ditempuhi. Kami bertekad untuk mencuba kerana mengikut maklumat yang diberikan oleh orang asli, jalan itu hanya mengambil masa 5 jam sahaja jika bermotosikal.
                Walau apa pun cakap dari orang asli kami ingin mencuba, apatah lagi ingin membuktikan bahawa segala cakap-cakap orang itu adalah tidak benar. Jam 2 petang pada 21 Jan 02 kami mula bertolak dan mencari-cari jalan yang menghubungkan Air Banun dan Pos Kemar. Pada lebih kurang jam 6 petang kami sampai di Kongsi Balak Sun Yap. Kami memohon kebenaran untuk bermalam disitu kerana pemandangan disitu begitu cantik sekali berlatarbelakang Tasik Temenggor. Penjaga di situ mencadangkan kepada kami supaya bermalam di Pos Chiong yang mana hanya 5 minit perjalanan dari tempat tersebut.  Kami disambut baik oleh Batin Ramli di Pos Chiong
          Penduduk Pos Chiong tengah membuat persiapan untuk keramaian dimana pada malan itu akan diadakan pertandingan karaoke dan pada keesokkannya sukaneka. Penduduk dari kampung orang asli berdekatan telah mula berkumpul. Pada mulanya kami dibenarkan untuk bermalam di Dewan Orang Ramai tetapi kami mengambil keputusan untuk berkhemah sahaja kerana lebih selesa dan tidak mahu mengganggu tempat yang telah disediakan untuk tetamu yang datang dari kampung-kampung lain. Kami bermalam disitu dan pertandingan karaoke terpaksa dibatalkan kerana hujan yang berterusan pada sebelah malam.             
            Pada pagi 22 Jan 02 , kami mengucapkan terima kasih kepada Batin Ramli kerana membenarkan kami bermalam di Pos Chiong. Batin Ramli mengalu-alukan kedatangan kami lagi ke Pos Chiong. Kami memulakan perjalanan pada jam 1030 pagi merempuh suasana hutan simpan Temenggor. Suasananya sungguh nyaman dan menenangkan fikiran. Kami tiba di persimpangan Pos Kemar dimana hari telah hampir petang. Ramai yang ragu-ragu dengan jalan tersebut kerana begitu semak dan hanya ada bekas lama yang dilalui kenderaan. Saya mendahului sebagai perintis jalan.                                                                                                                                                                                      

           Memang terasa agak sukar melalui jalan tersebut, namun hati terasa puas kerana inilah yang dicari-cari    oleh offroader tegar. Memang terasa puas melalui jalan seperti ini. Jalan ini boleh dikategorikan sebagai HARDCORE. memang berbaloi untuk mengharungi trek tersebut. Mengharungi jalan trek tersebut begitu menduga mental dan fizikal pemandu dan memerlukan skill pengendalian kenderaan yang tinggi. Kenderaan pula mestilah cukup bersedia dengan peralatan tambahan yang sewajarnya. Keseronokkan dirasai kerana semua peserta hanya menggunakan tayar MTsahaja.   
              Jalan yang dilalui memang licin dan ada peserta yang agak menyesal kerana tak tukar kepada tayar trekker. Berkat kerjasama yang diberikan oleh semua krew kami berjaya keluar ke Pos Kemar pada jam 0700 pada 23 Jan 02. Kalau diikutkan, jangkamasa yang diambil oleh 8 buah kenderaan untuk merentas dari Air Banun ke Pos Kemar hanya mengambil masa 2 hari 1 malam sahaja. Satu pencapaian yang menakjubkan oleh kumpulan kami.  Masing-masing merasa puas kerana ekspedisi yang tak terancang ini telah berjaya walaupun berlaku kerosakkan kecil pada kenderaan.  2 buah kenderaan mengalami kerosakkan clutch.
     
               Saya merasa amat seronok dengan trip pada kali ini terutama dapat mengenali kawan-kawan baru terutamanya Abg Nan (Pak Long). Adalah diharapkan kita akan bergabung lagi untuk trip yang lebih menyeronokkan. Cadangan saya adalah untuk mengharungi trek Kuala Betis (Gua Musang) ke Beswok. Jumpa lagi.......Off Road selamanya...Assalamualaikum