Friday, October 8, 2010

TRIP KE HUTAN SIMPAN ULU MUDA (GUBIR - GULAU)

           Pada  24 - 26 Sep 2010 yang lalu Tim kami sekali lagi berkumpul untuk riadah keluarga. Rancangan yang lebih berani dibuat iaitu meredah Hutan Simpan Ulu Muda (Gubir - Gulau) iaitu satu track yang dikategorikan HARDCORE. Seperti biasa Pajero admin, Cherokee Shidee, Pajero Rizal, Storm Mail dan Terrano Dee. Mail adalah kawan baru yang mengikuti kami manakala Dee baru sahaja membeli kereta Terrano. Walaupun tanpa pengubahsuaian yang khas, Dee begitu bersemangat untuk mengikuti trip kali ini.......redah ajelah.

Tim kami berkumpul di Sg Petani di rumah admin selepas solat Jumaat. Kami mula bertolak pada jam 1530 di dalam hujan lebat. Dari Sg Petani, kami melalui jalan Bukit Selambau, Jeniang, Sik, Gulau, Belantik dan Gubir. Kami tiba di Gubir pada jam 1800 dan begitu menakjubkan hujan telah reda. Kami berhenti di sebuah stesen minyak untuk top up minyak dan membeli barang keperluan. Pump minyak di sini masih menggunakan teknologi tahun 80an. Nak buat mcm mana ......dah memang jauh dari bandar. Dalam perjalanan ke tempat mula, kami melintasi kem Gubir iaitu satu Pos Operasi Hadapan yang amat terkenal pada zaman melawan komunis.

           Kami  mula memasuki hutan pada petang itu. Walaupun cuaca agak cerah tetapi kesan hujan masih membasahi bumi. Perjalanan kami dihalang oleh sebatang pokok yang tumbang merentangi jalan. Hampir 30 minit masa dihabishan untuk memotong kayu tersebut dan mengalihkannya ketepi. Kanak-kanak yang mengikuti ekspedisi ini asyik mengambil gambar tahi gajah kerana belum pernah tengok sebelum ini........anak bandar, jangankan tahi gajah, tahi ayam pun dia tak kenal. perjalanan diteruskan walaupun hari telah mula gelap. Pada awal malam kami telah terkeliru dengan track yang ada  dan tersalah track dan "sesat".

         Pada 26 Sep 2010, kami back track dan menjumpai jalan sebenar. Jalan yang agak mencabar apabila kenderaan mulai mendaki jalan yang licin. Tak banyak masalah bagi kenderaan yang menggunakan tayar MT tetapi bagi yang tayar sotong, ia merupakan pengalaman pahit bagi pemandu dan krew. Hampir 2 jam masa dibazirkan untuk melepaskan Nissan Terrano tayar sotong. Susah senang kita hadapi bersama....ewah. Cukup menyakinkan bagi pemandu-pemandu baru. Track itu sama sekali baru bagi kami semua. Tiada seorang pun yang biasa melaluinya. Kami memandu perlahan merentasi di bawah pepohon buloh. Terasa sakit di hati apabila snorkle tersangkut di buloh. Bagi Mail Storm ini adalah satu pengalaman baru yang burok baginya. Mail selalu mengikuti kelab lain dan ini kali pertama beliau merasakan jalan yang mencabar. Kereta Storm yang agak baru dilayan dengan baik, Keadaan tanah tidak membenarkan Mail memanjakan Stormnya. Tambahan pula keluh kesah dari keluarga yang turut serta, saya dapat merasakan bahawa Mail kurang selesa dengan trip ini. Sabar jelah Mail.......


           Kami meredah hutan dengan sabar. Terdapat tanda-tanda bahawa terdapat beberapa buah kenderaan yang telah mendahului kami. Kumpulan dari Baling adalah tekaan yang bermain di bibir semua peserta. Jarang ada kumpulan yang memasuki jalan sebegini melainkan Geng Baling (hardcore). Separuh perjalanan kami menjumpai Suzuki Jimmy yang di tinggalkan di tepi jalan kerana rosak. Melihat sahaja kereta itu kami pasti ianya kepunyaan Geng Baling. Di mana mereka sekarang? Kami mengharungi berbagai rintangan termasuk jambatan yang telah runtuh, anak-anak sungai yang curam dan lopak air yang dalam.
          Beberapa kali kenderaan kami tersangkut, tetapi berkat kerjasama semua kami dapat melepasi semua halangan yang ada. Dengan bantuan winch dan semua peralatan yang kami bawa semua halangan ditempuhi dengan mudah. Selepas lebih kurang 14 km ke dalam hutan simpan itu kami berjumpa dengan Geng Baling yang menghalang perjalanan. Mereka berhenti untuk makan dalam perjalanan arah keluar. Kami berhenti seketika bersalam-salaman tanda persahabatan antara kelab. Sememangnya dalam aktiviti ini kita perlu ada ramai kawan. Kawan-kawan ini yang akan membantu kita sekiranya ada sebarang kesusahan di dalam hutan. Kami meneruskan perjalanan hingga tiba ke satu sungai dimana semua peserta mencapai kata sepakat untuk berpatah balik kerana keadaan kenderaan yang kurang baik. Terrano telah mula semput, storm pun dah tak sehebat nama lagi........hahahahaha biasalah tu...


           Kami berhenti berkhemah di kawasan lapang berdekatan sebatang sungai yang agak cantik. Airnya jernih dan sejuk ditambah pula suasana nyaman hutan membuatkan kami cukup tenang dan terhibur. Inilah yang dikatakan riadah bersama keluarga. Setiap kali berkhemah begini, waktu makan cukup menyelerakan. Masak makan secara bergotong royong memang seronok....berat sama dipikul, ringan sama dijinjing....Yang paling kami respect sekali ialah Mak Jang Mah yang telah menjangkau umur 70 tahun. Dia ialah peserta tetap yang tak pernah gagal dalam menyertai mana-mana ekspedisi kumpulan kami selama ini.

     Seperti biasa kanak-kanak ialah orang yang paling seronok bila berkelah di tepi sungai begini. Ada sahaja aktiviti yang mereka buat menghabiskan masa di dalam hutan. Kebanyakkan mereka belum pernah berjumpa antara satu sma lain tapi mereka mudah mesra antara satu sama lain. Mereka main air hingga kulit berkedut dan kebiruan kerana kesejukkan. Mak budak pun sama je.....hehehehe. Bapa budak sibuk merancang apa nak buat....Kat dalam hutan ni....perempuan bos....lelaki.....kuli. Itulah sebabnya diorang suka nak ikut kalau masuk hutan. Tapi tak kisahlah....inilah masanya nak bermesra dan mengeratkan hubungan suami isteri dan keluarga.

            Kesimpulannya, trip kali ini cukup menyeronokkan walaupun hanya separuh jalan. Rancangan telah dibuat untuk kumpulan kami masuk kawasan ini sekali lagi bagi menghabiskan track hingga ke Gulau. InsyaAllah penghujung Oktober adalah penentunya.....Sehingga berjumpa lagi...