Tuesday, July 20, 2010

Ekspedisi ke Kg Beswok dan Pos Yom

           Pada 16 Jul 2010, kumpulan tegar Utara Off Road sekali lagi meredah hutan Perak untuk menakluki Kg Beswok dan Pos Yom. Ekspedisi bermula dengan semua peserta berkumpul di R&R Juru pada jam 2200. Pada perkiraan awal 6 buah kenderaan akan mengambil bahagian dalam trip kali ini. Walau bagaimanapun satu kenderaan dari Penang  telah mengalami kerosakkan dalam perjalanan ke tempat berkumpul dan terpaksa menarik diri di saat akhir manakala sebuah lagi menarik diri kerana melawat anak di asrama di Kuala Lumpur.

          Empat kenderaan mula bertolak dari R&R Juru pada jam 2230 ke Kg Bawong, Sungai Siput mengikuti Lebuhraya Utara Selatan melalui Kuala Kangsar. Kami tiba di Masjid Kg Bawong pada jam 0130 dan masing-masing mula mencari tempat untuk melelapkan mata. Pada 17 Jul 2010 seawal jam 0700 kenderaan kami mula bergerak ke arah destinasi yang dituju. Dalam kedinginan udara pagi, kereta kami meluncur perlahan dan kami berhenti di beberapa tempat untuk melihat panorama hutan.


            Perjalanan kami agak mudah pada mulanya sehinggalah jambatan utama ke Pos Yom. Dari jambatan tersebut jalan mula berubah dari kategori mudah ke sederhana. Bagi penggemar 4 x 4 keadaan jalan sebegini sebenarnya memang dinantikan. Semuanya kami tempuhi dengan mudah tanpa ada masalah. Para isteri dan anak-anak pun turut merasakan keseronokkan apabila kenderaan melepasi halangan demi halangan. Bagi mereka ini bukanlah kali pertama mereka didedahkan kepada aktiviti luar sebegini. Sememangnya itulah hasrat kami iaitu membiasakan isteri dan anak-anak kepada keadaan yang mencabar supaya mereka lebih tabah menghadapi cabaran.

           Lebih kurang jam 1030 pagi kami mula melepasi Pos Yom. Dari jauh kami nampak perkampungan orang asli yang begitu tenteram jauh dari pencemaran kota. Terasa begitu tenteram di hati bila melihat kedamaian kampung yang seba kekurangan itu. Nasib mereka agak terbela dengan bantuan yang diberikan oleh JHEOA Perak seperti rumah, bekalan air dan bekalan elektrik dari sumber solar. Melihat pada keadaan kehidupan mereka terasa insaf di hati bila mengingatkan tentang kehidupan kita yang jauh lebih mewah dari mereka. Syukur Alhamdulillah kepada nikmat yang Allah berikan kepada kita.

            Di pertengahan perjalanan kami melintasi kebun-kebun orang asli yang telah diusahakan dengan tanaman koko. Melihatkan usaha mereka yang gigih, saya secara peribadi percaya suatu hari nanti kawasan ini akan menjadi pengeluar koko yang yang berjaya. InsyaAllah..... Beberapa orang kanak-kanak orang asli berada di tepi jalan bermain-main. Kami mengambil kesempatan untuk memberikan buah tangan yang dibawa kepada mereka. Di wajah mereka terlihat  riak kegembiraan apabila menerima pemberian tersebut. Ucapan terima kasih diberikan kepada kami. Kami menggalakkan anak-anak kami memberikan buah tangan tersebut supaya mereka dapat melihat sendiri perbezaan antara mereka dan kanak-kanak orang asli.  Anak saya bertanyakan kepada saya berbagai soalan tentang orang asli yang mana semuanya saya jawab dengan bijaksana supaya dia mendapat manfaat dari ekspedisi ini.

           Jam 1130 kami tiba di Kg Kotai, sebuah perkampungan kecil di antara Pos Yom dan Kg Beswok. Sambutan yang diberikan oleh penduduk kampung agak baik. Salam mesra yang kami hulurkan sisambut dengan baik oleh Tok Batin. Kami memaklumkan kepada beliau yang kami dalam perjalanan ke Kg Beswok dan hanya singgah sebentar untuk membetulkan merehatkan kenderaan. Walaupun demikian sedikit sumbangan dihukurkab kepada penduduk setempat yang ada sebagai tanda persahabatan dari kami. Memang perpancar wajah kemesraan di wajah mereka walaupun baru mengenali kami. Inilah yang membuatkan kumpulan kami ingin selalu mendekati kaum org asli. Kami meneruskan perjalanan ke Kg Beswok setelah puas berehat.

       Lebih kurang jam 1230 kami tiba di Kg Beswok setelah melalui jalan yang agak rumit. Kg ini adalah kampung yang paling hujung sekali di dalam negeri Perak. Kami berhenti berdekatan sekumpulan orang asli yang sedang mengerjakan kebun. Secara kebetulan Tok Batin pun ada di situ jadi mudah kepada kami untuk mengucapkan salam dan meminta kebenaran untuk singgah. Kami ditunjukkan tempat untuk meletakkan kenderaan dan kawasan untuk berkhemah, walau bagaimanapun kami mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Pos Yom kerana terdapat kawasan perkemahan yang lebih baik.

          Walaupun kami tidak jadi untuk berkhemah di Kg Beswok, ini tidak bermakna penghuni kampung ini tidak dihargai oleh kumpulan kami. Sumbangan pakaian dan makanan tetap dihulurkan. Kami suka melihat senyuman di wajah orang asli ketika menerima sumbangan kami. Mereka tidak pandai memilih tetapi menerima setiap pemberian dengan hati yang terbuka. Sumbangan pada kali ini lebih menjurus kepada golongan wanita dan kanak-kanak. Kami mendapat maklumat bahawa jalan dari Kg Beswok ke Kg Tuil (Kelantan) telah putus tetapi boleh dilalui oleh kenderaan 4 x 4 dan keluar melalui Kuala Betis, Gua musang. Inilah akan menjadi cabaran kami untuk ekspedisi yang akan datang. Kami berpatah balik ke Pos Yom dan berkhemah di sana. Kawasan yang ada memang cantik dan cukup untuk menampung 20 kenderaan. Masing-masing tersenyum bila melihat sungainya cantik dengan air jernih mengalir laju. Kami mendirikan khemah dan masak makanan untuk tengahari itu kerana masing-masing sudah kelaparan yang teramat sangat.

           Hidangan nasi dengan kari kepala ikan cukup menyelerakan. Setelah kenyang kami berehat sambil melihat anak-anak bermain di sungai. Memang seronok kalau selalu dapat begini setelah penat bekerja. aktiviti riadah sebegini dapat menenangkan minda yang berserabut denngan tugasan pejabat yang tak pernah habis......Kalau tak kerja mana nak dapat duit untuk semua ini....Hahahahahaha......... Petang itu kami minum petang dengan cucur udang cicah Sos Thai...mmmmmm sedapnya.

          Kami memberikan sumbangan seperti biasa kepada masyarakat setempat. Semua sumbangan adalah ikhlas dari kami tanpa mengharapkan sumbangan dari penaja atau badan kebajikan. Ini adalah lebih baik kerana kami memberikan setakat termampu.

     Pada 18 Jul 2010 lebih kurang jam 1400 kami bertolak balik. Semua peserta ekspedisi kali ini berasa puas kerana kelancaran ekspedisi. Kami akan membuat banyak lagi aktiviti riadah berkeluarga seperti ini di masa akan datang. InsyaAllah.....